Wednesday, August 20, 2008

Unic pikat pelajar IPT

KEJAYAAN album sulung kumpulan nasyid Unic berjudul You And I See yang berjaya dijual melebihi 40,000 unit menguatkan semangat mereka untuk terus menghasilkan album baru. Justeru, tidak hairanlah Unic baru-baru ini muncul dengan album kedua mereka berjudul See You Di IPT yang diterbitkan oleh Hijjaz Records Sdn. Bhd., dan diedarkan oleh EMI Music (Malaysia).

Bagi meneruskan kejayaan album pertama tersebut, Unic mempunyai strategi mereka sendiri bagi memastikan See You Di IPT juga mendapat sambutan peminat.

``Kami lebih banyak memfokuskan promosi dan jualan album terbaru kami di IPT (Institusi Pengajian Tinggi) awam mahupun swasta.

``Ini kerana, kebanyakan peminat dan pembeli album kami terdiri daripada para pelajar IPT dan juga pelajar sekolah.

``Oleh sebab itulah kami pilih See You Di IPT sebagai tajuk album kami yang kedua,'' kata Mohamad Fitri Mohamad Haris, 19, yang juga merupakan pelajar tahun dua Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam jurusan Ilmu Wahyu & Warisan.

Selain Mohamad Fitri, Unic turut dianggotai oleh Bazli Hazwan Che Osman, Wan Sharifuddin Wan Hassan dan Mohammad Hafiz Hamidun.

See You Di IPT telah berada di pasaran sejak 28 Julai. Selain lagu See You Di IPT, Zinnirah dan Demi Cinta Suci, album ini turut memuatkan puisi Makam Bonda karya allahyarham Datuk Usman Awang.

No comments: