USIA muda bukan penghalang empat remaja dari kumpulan UNIC untuk mencipta kejayaan di dalam bidang seni suara.
Mohd. Fitri Mohd Haris, Bazli Hazwan Che Osman, Wan Sharifuddin Wan Hassan dan Mohd Hafiz Hamidun berusia 19 tahun. Mereka masih menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sekitar Lembah Klang.
Usia muda dan status sebagai pelajar memberi ruang yang besar kepada mereka untuk mencipta sejarah dalam bidang seni.
Malah, tidak keterlaluan dikatakan mereka semakin hampir menyaingi kumpulan nasyid lain seperti Hijjaz, Rabbani, Raihan, In-Team dan Saujana. Ini terbukti apabila mereka berjaya memenangi Lagu Nasyid Pilihan dalam Anugerah Era yang lalu dengan menewaskan kumpulan lain yang lebih senior.
Baru-baru ini UNIC juga telah menerima anugerah Platinum setelah album sulung mereka, You And I See mencatat jualan melebihi 40,000 unit.
Meneruskan kesinambungan album tersebut, UNIC kini muncul lagi dengan album kedua mereka berjudul See You Di IPT.
Album ini masih lagi mengekalkan konsep pop nasyid bertemakan ketuhanan, nasihat dan menyentuh isu-isu globalisasi.
Album ini mendapat sentuhan daripada Isman Isam, Munif Ahmad dan Faizal Osman yang bertindak selaku penerbit. Liriknya pula dihasilkan oleh karyawan yang mempunyai tempat dalam industri ini seperti Ito Lara dan Ustaz Md. Juoi.
UNIC turut memberi penghormatan kepada Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang dengan melagukan puisi karya Allahyarham, Ke Makam Bonda. Siso Kopratasa turut berkerjasama dengan menghasilkan lagu bagi puisi ini.
Lagu-lagu lain yang terkandung di dalam album ini ialah Zinnirah iaitu sebuah lagu yang menceritakan tentang sejarah serikandi Islam. Demi Cinta Suci, Hakikat Bahagia, Sebuah Pertemuan, Remaja, Permata Keluarga, Sahabat Sejati dan Ya habibi Ya Muhammad turut dimuatkan.
Salah seorang anggota UNIC iaitu Wan Shah turut bergandingan dengan Isman Isam menyumbangkan sebuah lagu yang menjadi judul album kali ini, See You Di IPT.
Judul ini dipilih memandangkan kebanyakan peminat UNIC adalah remaja pelajar sekolah serta pelajar IPT. Tema persahabatan yang ringan antara dua pelajar sekolah yang berlanjutan hingga ke IPT dilihat sebagai lebih mudah diterima oleh para peminat mereka.
Namun begitu, UNIC tetap menyelitkan unsur nasihat dengan menekankan kepentingan ilmu pelajaran dalam mencapai cita-cita.
Album yang telah berada di pasaran akhir bulan lalu itu diterbitkan sepenuhnya oleh Hijjaz Record Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh EMI (Malaysia) Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment