Wednesday, August 20, 2008

Seni dan akademik seiring


Oleh ZUARIDA MOHYIN

SEBUT sahaja nama kumpulan UNIC, pasti yang terbayang adalah penampilan empat anak muda bersuara harmonis. Hakikatnya, kehadiran mereka dalam industri hiburan tanah air khususnya dalam irama nasyid bukanlah sekadar melukut di tepi gantang.

Ini kerana lagu-lagu seperti Hanya Tuhan Yang Tahu, Demi Cinta Suci dan Balqis, terus meniti di bibir peminat mereka terutamanya di kalangan generasi muda. Malah kumpulan nasyid ini merupakan antara kumpulan nasyid yang popular di universiti-universiti tempatan seluruh negara.

Seperkara yang harus dicontohi khalayak remaja kita ialah semarak semangat berdakwah meskipun semakin sibuk dengan kerjaya profesional selepas tamat pengajian beberapa tahun lalu.

Malah salah seorang anggotanya, Bazli Hazwan, 24 tahun, yang kini menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang Usuluddin dan Dakwah di Universiti Al-Azhar, Mesir masih aktif menyumbangkan sesuatu sungguhpun tidak menerusi saluran nasyid seperti kebiasaannya.

Anak muda kelahiran negeri Perlis, baru-baru ini berkunjung ke pejabat Utusan Malaysia sekembalinya ke tanah air kerana bercuti panjang. Lantaran itu, peluang ini dipergunakan untuk mempromosikan album berjudul Al-Ma’thurat Sughra’ - Alunan Zikir- Zikir Amalan Rasulullah yang telah berada di pasaran sejak akhir Jun lalu.

Katanya, idea menghasilkan album ini telah lama tersimpan iaitu semenjak bersekolah asrama lagi tetapi yang menjadi titik tolak kepada cetusan ini ialah sewaktu tahun awal belajar di Mesir. Apatah lagi, rata-rata pelajar di sana menjadikan zikir Al-Ma’thurat sebagai amalan harian.

“Hal inilah yang mencetuskan ilham, cuma kelainan yang saya ketengahkan dalam album ini ialah ia disampaikan dalam bentuk acapella. Yang pastinya, persembahannya menjadi lebih segar dan mudah untuk diikuti terutamanya kepada golongan kanak-kanak. Inilah kelainan yang cuba dibawakan, sekali gus cuba keluar daripada kebiasaan album-album zikir yang sedia ada di pasaran.

“Di samping itu, setiap zikir yang termuat sama ada di cakera padat dan kaset ini mempunyai pelbagai fadilat dan kelebihannya, apa lagi jika ia dijadikan amalan harian dan secara istiqamah. Insya-Allah mulut mereka yang sentiasa basah dengan zikir ini akan beroleh ketenangan, pahala, kekuatan dalaman dan semangat yang tinggi,” ujar Bazli terdapat 13 surah dan lebih 10 zikir Ma’thurat yang dibacakan beliau berserta tafsirannya.

Album kelima

Menurut pelajar tahun tiga yang juga merupakan pemegang Diploma Jurusan Quran dan Sunah dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) itu lagi, beliau menaruh harapan tinggi album terbitan Hijjaz Records Sdn. Bhd. (HRSB) bukan sekadar dijadikan santapan halwa telinga.

Apa yang penting kata Bazli, berkongsi sesuatu yang menjadi amalan Rasulullah SAW dan para sahabat adalah supaya kita beroleh banyak faedah. Menjadi satu kerugian juga apabila kita hanya mengalunkan lagu-lagu yang dikhuatiri membawa kepada lara atau lalai.

Ditanya pengisian jadual harian sepanjang tempoh tiga bulan bercuti, akui Bazli selain memperuntukkan waktu berkualiti dengan ahli keluarga, komitmen dengan kumpulan UNIC tidak pernah dilupakan.

“Kalau dahulu sewaktu masih belajar, jadual persembahan, latihan, rakaman dan perancangan untuk kumpulan agak mudah diatur, tetapi kini agak susah sikit. Apa tidaknya, masing-masing semakin sibuk dengan kerjaya manakala saya pula menyambung pengajian di perantauan,” jelasnya.

Bagaimanapun, kata Bazli, itu bukan halangan kerana peluang bercuti sehingga bulan November ini, selain memenuhi persembahan menjelang bulan kemerdekaan, Ramadan dan Aidilfitri, kumpulan UNIC juga sibuk dengan pembikinan album kelima kami yang akan berada di pasaran pada tahun depan.

“Di samping itu, pada penghujung tahun ini bersama syarikat rakaman kami iaitu Hijjaz Records, kami sedang dalam proses menerbitkan album Kompilasi Terbaik UNIC. Yang pastinya, untuk album kelima ini kami membawakan sesuatu yang baru terutamanya dari segi konsep dan kami menekankan aspek lirik berbanding muziknya. “Bagi kami mesej yang hendak disampaikan itu lebih penting kerana di situlah dakwah kami,” jelas anak sulung daripada tujuh adik-beradik ini.

Berkongsi pengalaman menuntut di luar negara, beliau akui mengalami sedikit masalah seperti penyesuaian diri dengan budaya dan bahasa masyarakat tempatan di sana. Namun, itu semuanya mampu diatasi.

Walau bagaimanapun, kebenaran jauh perjalanan, luas pandangan memang tidak dinafikan. Ini kerana di Tanah Arab terdapat banyak tempat bersejarah selain belajar mengadaptasikan suasana baru.

“Paling bertuah, saya bukan sahaja memperoleh ilmu bersijil iaitu yang diambil secara formal tetapi menariknya ilmu tanpa sijil itu juga tidak kurang hebat seperti yang diterima sewaktu di masjid mendengar ceramah, tazkirah atau majlis ilmu daripada ulama di sana,” kata Bazli mengakhiri perbualan kami tengah hari itu.


No comments: