Wednesday, August 20, 2008

Unic - Berlakon bukan kerana glamor

KEMUNCULAN kumpulan nasyid masakini bagaikan cendawan di musim hujan. Menyedari itulah setiap yang muncul mahukan sesuatu kelainan. Begitu juga dengan UNIC. Selain menampilkan album keduanya See You Di IPT, UNIC turut menghasilkan VCD telemovie dengan judul yang sama. VCD ini sudah pun berada di pasaran sejak 27 Julai lalu.

Seorang anggota UNIC, Hafiz ketika ditemui pada majlis pelancaran VCD berkenaan menafikan kemunculan mereka dalam VCD itu mahu mengejar glamor. Sebaliknya kata Hafiz, VCD itu dihasilkan sebagai salah satu dakwah kepada golongan remaja.

``Sebagai kumpulan nasyid remaja, kami tahu apa yang remaja mahukan dan cerita yang kami paparkan dalam telemovie ini memang sesuai kepada remaja,'' kata Hafiz ketika ditanya mengenai Unic dan telemovie berkenaan.

Selain Hafiz, UNIC turut dianggotai Mohd. Fitri, Bazli Hazwan dan Wan Sharifuddin.

Telemovie See You Di IPT membawa kisah mengenai Man, anak seorang peguam yang nakal. Bersama dua orang teman baiknya, Hafiz dan Bazli, mereka gemar mengusik rakan-rakan sebaya. kehadiran Eisya, pelajar baru di sekolah itu telah menarik perhatian Man. Pelbagai cara dilakukan untuk memikat Eisya yang terkenal dengan sikap tegasnya.

See You Di IPT yang diterbitkan oleh Hijjaz Music Entertainment (M) Sdn. Bhd., dengan kerjasama D`Mind Music Entertainment Sdn. Bhd., dan diedarkan oleh EMI Music (M) diarahkan oleh Zulkiflee Salleh.

Selain anggota kumpulan UNIC, telemovie ini turut dibintangi oleh Bell, Bienda, Mustafa Kamal, Zaidi Omar, Rosnah Johari, Zuraini, Ainina Ahmad B, Dilla Hussein, Ayie dan Anne.

No comments: